Didera bagai binatang

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my


DAI BACHTIAR menunjukkan gambar Siti Hajar yang menjadi mangsa dera majikan di Kedutaan Indonesia, Jalan Tun Razak semalam.


KUALA LUMPUR – Akibat tidak tahan menanggung penderitaan menjadi mangsa dera selama 34 bulan, seorang amah nekad melarikan diri dari rumah majikannya di Jalan Kiara, Mont Kiara di sini semalam.

Mangsa Siti Hajar, 33, rakyat Indonesia meninggalkan rumah tersebut pada pukul 1 pagi dalam keadaan sehelai sepinggang sebelum menaiki teksi ke pejabat Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak di sini.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar berkata, pembantu rumah berasal dari Jawa Barat itu tiba di pejabat kedutaan pada pukul 8.30 pagi bagi mendapatkan bantuan setelah mendakwa sering didera majikan wanitanya yang berusia 43 tahun.



Menurut beliau, mangsa mula bekerja di rumah majikannya seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak berumur 11 dan 13 tahun bermula pada 2 Julai 2006.

“Dalam tempoh itu, mangsa mendakwa dia sudah banyak kali disiram dengan air panas selain dipukul dengan objek keras jika melakukan kesalahan termasuk kesalahan kecil,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Lebih malang lagi, katanya, sepanjang bekerja di situ mangsa yang beragama Islam mendakwa dia hanya diberi makan nasi tanpa lauk dan jika berlauk ia hanya daging babi.

Dai Bachtiar memberitahu, mangsa mendakwa wanita yang panas baran itu juga tidak pernah membayar gaji mangsa iaitu RM500 sebulan.

Katanya, mangsa yang sampai di kedutaan didapati mempunyai banyak parut selain luka baru pada muka dan hampir keseluruhan badan.

Leave a comment »

Amah mengaku tidak bersalah


HANNI diiringi anggota polis di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang atas tuduhan cuba membunuh majikan.

GEORGETOWN: Pembantu rumah warga Indonesia yang menggunakan pisau, kerusi kayu dan lesung batu dalam cubaan membunuh majikannya minggu lalu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hanni Seo, 23, dari Kabupaten Kupang, Indonesia, bagaimanapun mengaku tidak bersalah apabila pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Roslan Hamid.

Dia yang berbaju kemeja lengan pendek dan berseluar jean biru, sebelum itu dilihat terpinga-pinga serta mendiamkan diri ketika beberapa kali pertuduhan terhadapnya dibacakan.

Hanni mulanya mengaku bersalah selepas jurubahasa membacakan pertuduhan kali kedua terhadapnya.

Roslan kemudian menerangkan kepada tertuduh mengenai dakwaan terhadapnya.

Beberapa minit selepas itu, dia menggelengkan kepalanya tanda tidak mengaku bersalah sambil menyatakan dia mahu dibicarakan.

Hanni yang tidak diwakili peguam didakwa menyerang Phang Kian Huang, 42, dengan kerusi kayu, lesung batu dan pisau pemotong sayur yang boleh mendatangkan kecederaan dan kematian kepada mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 10 pagi, 26 Februari lalu di rumah majikannya di No 55-6-2, Sri Mahsuri, Lorong Sempadan 2, Rifle Range, Air Itam di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes, selain tidak membenarkan tertuduh dijamin.

Roslan memerintahkan kes itu dirujuk kepada konsulat Indonesia di sini untuk tindakan selanjut dan memberi tempoh sebulan sama ada mahu melantik peguam atau tidak.

Mahkamah menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes, selain tidak membenarkan tertuduh dijamin.

Selepas prosiding selesai, Hanni dilihat menangis teresak-esak ketika seorang anggota polis mahu menggari semula tangannya.

Mengikut laporan media sebelum ini, Phang menerima lebih 100 jahitan di leher, telinga dan beberapa bahagian badan akibat serangan oleh pembantu rumahnya itu.

Leave a comment »

Kenaikan bayaran fiskal boleh tingkat pendatang tanpa izin

PUTRAJAYA: Langkah kerajaan Indonesia menaikkan kadar bayaran fiskal daripada RP1 juta (RM330) kepada RP2.5juta (RM820), dijangka meningkatkan kadar penyeludupan pendatang tanpa izin ke negara ini menerusi jalan laut.

Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (Papa), Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata langkah itu yang dilaksanakan sejak bulan lalu bertujuan mengurangkan rakyat Indonesia ke luar negara.

“Langkah ini adalah bijak berikutan hanya warga Indonesia yang berkemampuan saja boleh berkunjung ke luar negara termasuk negara ini.

“Ia juga dapat menghalang penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial warga negara itu untuk memasuki negara ini dengan tujuan bekerja di sini.

“Bagaimanapun, terdapat kesan negatif dengan pelaksanaan langkah ini iaitu kita percaya ia akan meningkatkan kemasukan pendatang tanpa izin dari negara jiran secara haram terutama melalui jalan laut,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, selain meningkatkan kadar bayaran fiskal, kerajaan Indonesia juga menaikkan kadar cukai lapangan terbang daripada RP50,000 kepada RP150,000 bermula 1 Mac lalu.

“Jika mereka yang mahu bekerja di negara ini tetapi tidak berkemampuan menggunakan kapal terbang, sudah tentu memilih cara yang lebih murah iaitu menggunakan bot atau tongkang,” katanya.

Leave a comment »

Sindiket palsu pasport Indonesia tumpas


PENGARAH Penguat Kuasa Imigresen, Zamberi Abdul Aziz menunjukkan pasport palsu dari negara asing pada sidang media di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan satu sindiket pemalsuan pasport Indonesia serta cap dan pelekat pihak berkuasa itu dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 5, Gombak, kelmarin, kejayaan kedua dalam tempoh 11 hari.

Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Sulaiman Keling, berkata pihaknya turut menahan tiga warga Indonesia, termasuk seorang wanita, berusia antara 20-an hingga 30-an.

Seorang daripada lelaki terbabit adalah dalang sindiket itu dan pihaknya sedang mengesan dua lagi suspek dipercayai ada kaitan dengan sindiket itu, katanya.

Katanya, dalam serbuan kira-kira jam 1.30 petang itu, pihaknya merampas 18 pasport palsu Indonesia, dua pasport Albania, empat buku nikah pihak berkuasa Indonesia serta 17 pelbagai jenis cop kawalan keluar dan masuk Imigresen selain mesin dan peralatan komputer yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu.

Siasatan awal mendapati, sindiket itu mengenakan bayaran antara RM30 hingga RM1,200 terhadap pendatang asing yang ingin mendapatkan khidmat pemalsuan dokumen perjalanan itu, katanya.

Katanya, bagi tempahan dokumen gred A, sindiket itu mengenakan bayaran RM1,200, gred B (RM800), gred C (RM250), manakala RM30 dikenakan untuk pelekat pasport saja. Gred paling tinggi dan mahal merujuk kepada hasil dokumen yang hampir sama dengan tulen.

“Sindiket itu dipercayai memproses enam hingga tujuh pasport sehari dan beroperasi sejak enam bulan lalu dengan pendapatan bulanan sehingga RM10,000,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Antara cap masuk dan keluar palsu yang dirampas ialah bagi pusat kawalan di Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Pelabuhan Stulang Laut, Pelabuhan Pasir Gudang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang,

Katanya sindiket itu menggunakan pasport terpakai Indonesia yang diterima menerusi pos ke sini untuk diubah suai dan dijual kepada pendatang asing tanpa izin di sini.

Katanya, siasatan mendapati sindiket berkenaan dipercayai didalangi tiga lelaki yang mahir dalam pemalsuan dokumen perjalanan menggunakan komputer dan dua “orang tengah” yang bertindak mencari pasaran.

Suspek lelaki itu boleh didakwa mengikut Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) yang boleh dihukum denda minimum RM30,000 dan penjara antara lima hingga 10 tahun selain disebat.

Suspek wanita itu pula disiasat mengikut Seksyen 56(1A)(c) akta sama kerana bersubahat yang boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya.

Sulaiman juga memberi amaran kepada majikan supaya tidak menggunakan jalan pintas untuk mendapatkan dokumen pekerja masing-masing menggunakan khidmat sindiket seperti itu atau menghadapi risiko didenda maksimum RM10,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 12 bulan bagi seorang pekerja asing tanpa izin.


Leave a comment »

Amukan amah bagai ‘orang gila’

KIAN HUANG yang cedera teruk selepas diserang dengan pisau dan lesung batu dirawat di Hospital Pulau Pinang semalam.


GEORGE TOWN – “Aku nak bunuh kau! Aku nak bunuh kau!”
Itulah jeritan yang mengejutkan Phang Kian Huang, 42, yang sedang tidur di bilik utama rumahnya di Flat Sri Mahsuri, Jalan Padang Tembak di sini kelmarin.

Sebaik membuka mata, satu pukulan keras hinggap di kepalanya.

Seperti orang hilang akal, pembantu rumah wanita warga Indonesia bernama Hanni, 20, terus bertubi-tubi memukul kepala Kian Huang mengguna kerusi kayu.

Selepas itu, Hanni melangkah keluar dari bilik Kian Huang sebelum dia masuk semula membawa pisau.

KEADAAN bilik tidur Kian Huang berselerak selepas dia diserang pembantu rumahnya yang mengamuk di Flat Sri Mahsuri, Pulau Pinang kelmarin.

Cerita wanita itu lagi, Hanni dengan pisau itu cuba kelar lehernya tetapi nasib baik beliau sempat mengelak.

“Semasa mengelak, Hanni melibas-libas pisau menyebabkan kaki kanan dan kiri saya cedera sebelum saya rebah,” ceritanya yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang.

Kian Huang memberitahu, dalam keadaan separuh sedar, beliau nampak, Hanni mengambil anak lesung batu dari dapur sebelum memukul pula kepala dan dadanya berulang kali macam orang hilang ingatan.

Beliau kemudiannya lari ke koridor rumah dan menghubungi suaminya, Lim Hee Soon (gambar kecil), 41, yang tiba ke rumah dalam masa kira-kira lima minit selepas itu.

Kian Huang memberitahu, jiran-jiran yang terdengar bunyi bising itu telah menghubungi polis dan ambulans.

Leave a comment »

Tak tahan sejuk berendam sejam

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang warga Indonesia yang cuba bersembunyi dalam tangki air rumahnya ketika serbuan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) akhirnya terpaksa menyerah diri kerana tidak tahan sejuk akibat berendam selama lebih sejam, malam kelmarin.

Lelaki berusia 20-an itu didapati menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu dan berakhir dua jam kemudian turut memeriksa beberapa kedai makan di sekitar Pantai Dalam dan rumah pangsa sekitarnya yang dipercayai disewa warga asing.

Diketuai Pegawai Rela Daerah Brickfields, Ismail Abdul Rahman, operasi itu dijalankan berikutan aduan orang awam yang tidak tahan dengan kerenah segelintir warga asing yang mengganggu keharmonian mereka.

Ismail berkata, sebaik menerima maklumat dan mengenal pasti kelompok pendatang asing, pihaknya mengerahkan anggota mengepung seawal jam 12 malam.

“Deretan kedai makan yang terletak di bahu jalan sekitar Pantai Dalam turut diperiksa berikutan mendapat maklumat rata-rata pekerja dan tukang masaknya terdiri daripada warga asing.

“Terdapat beberapa warga asing termasuk tukang masak cuba melepaskan diri namun gagal apabila menyedari kawasan itu sudah dikepung,” katanya.

Kira-kira 70 anggota Rela terbabit dalam operasi berkenaan termasuk dari Rela Dang Wangi dan Cheras selain Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Seramai 150 warga asing termasuk lelaki dan wanita yang terdiri dari warga India, Thailand dan Indonesia diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 70 orang ditahan.

Semua mereka dibawa ke Pusat Tahanan Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Leave a comment »

Setahun dirogol majikan

KAJANG – Tindakan polis menghebahkan nombor telefon melalui siaran radio berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia daripada terus menjadi mangsa nafsu ganas majikannya di sini semalam.

Pembantu rumah yang berusia 35 tahun itu mendakwa dirogol sebanyak tujuh kali sejak setahun yang lalu dan kali terakhir beliau dirogol ialah pada Khamis lalu.

Oleh sebab tidak tahan dengan sikap keji majikannya yang berlarutan sejak setahun lalu itu, mangsa meminjam telefon daripada seorang pekerja pengangkat sampah untuk menghubungi polis.

Satu sumber memberitahu bahawa sebelum itu mangsa mencatatkan nombor talian hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor selepas mendengar satu hebahan melalui radio.

Selepas mendapat laporan daripada pembantu rumah itu pihak polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang merupakan majikan mangsa.

Leave a comment »

Talian semak tarikh luput pasport

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen memperkenalkan sistem semakan sendiri secara dalam talian khas untuk memudahkan pemegang pasport antarabangsa mengetahui status sebenar dokumen perjalanan masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mahmood Adam, berkata pendekatan itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan jabatan berkenaan dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Antara faktor yang mendorong kami mengambil pendekatan ini adalah kerana kita hendak menjangkaui kehendak pelanggan iaitu mereka akan dapat mengetahui tempoh tamat pasport masing-masing.

“Dengan peringatan itu, mereka akan bersedia lebih awal supaya tidak `malu’ apabila mengetahui pasport mereka tidak sah digunakan sewaktu tiba di lapangan terbang untuk ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini, semalam.

Untuk itu, pemegang pasport boleh melayari http://www.imi.gov.my.

Mahmood berkata, Jabatan Imigresen juga akan menghantar surat peringatan kepada semua pemegang pasport antarabangsa bagi tujuan sama.

Katanya, sehingga kini pihaknya mengenal pasti 15,000 pasport antarabangsa di negara ini tidak aktif termasuk yang sudah disenaraihitamkan.

“Jumlah itu bagaimanapun masih kecil berbanding jumlah keseluruhan pemegang pasport iaitu 6.7 juta orang,” katanya.

Katanya, pemegang pasport yang dikategorikan dalam kumpulan itu juga boleh mendapatkan bantuan mengenai pasport mereka dengan menghubungi Jabatan Imigresen.

“Saya percaya kaedah sama boleh membantu jabatan dalam mengesan penipuan permohonan pasport. Ini adalah strategi pertahanan awal berikutan Jabatan Imigresen adalah barisan pertahanan ketiga selepas tentera dan polis,” katanya.

Sementara itu, Mahmood berkata, pendatang asing tanpa izin di negara ini yang tampil secara sukarela untuk pulang ke negara asal masing-masing akan dipertimbangkan.

“Denda yang dikenakan terhadap pendatang asing tanpa izin adalah antara RM400 hingga RM2,000, tetapi jika mereka tampil secara sukarela kita akan memberi diskaun sehingga 70 peratus atas dasar kemanusiaan.

“Kita sebenarnya tidak mahu simpan mereka, mereka hanya jadi beban kepada kita,” katanya.

Leave a comment »

100,000 warga Indonesia akan hilang pekerjaan


HISHAMUDDIN (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dai sambil diperhatikan Syed Nadzri (kiri) dan Manja sempena lawatan ke Balai Berita, semalam.

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 tenaga kerja Indonesia di negara ini dijangka kehilangan pekerjaan akibat kemelesetan ekonomi yang melanda dunia ketika ini, kata Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar.

Beliau berkata, jangkaan itu dibuat berikutan berlaku pemberhentian tenaga kerja secara besar-besaran di sektor pembuatan dan perkilangan di seluruh dunia bertujuan mengurangkan kos operasi syarikat.

“Sektor pembuatan dijangka menjadi penyumbang terbesar kepada pemberhentian kira-kira satu pertiga daripada lebih dua juta tenaga kerja Indonesia di Malaysia. Proses penghantaran pulang pekerja terbabit akan dilakukan secara berperingkat.

“Setakat ini, lebih 10,000 orang pekerja di Johor dan Pulau Pinang yang diberhentikan sudah dihantar balik dan ada yang masih menunggu giliran untuk pulang. Bagaimanapun, jika keadaan ekonomi kembali pulih dan permintaan untuk tenaga kerja asing kembali meningkat, kami bersedia bawa mereka bekerja semula di negara ini.

“Mereka yang bekerja dalam sektor perkhidmatan pembantu rumah bagaimanapun tidak terjejas kerana permintaan warga Malaysia untuk khidmat itu masih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Balai Berita di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd, Datuk Manja Ismail dan Pengarang Kumpulan New Straits Times Sdn Bhd, Datuk Syed Nadzri Syed Harun.

Turut sama Kaunselor Maklumat, Sosial dan Kebudayaan, Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia, Eka A Suripto dan Pegawai Atase Tenaga Kerja Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia, Teguh Hendro Cahyono.

Dai berkata, pihaknya mencadangkan dua pilihan kepada warga Indonesia yang diberhentikan, iaitu sama ada terus bekerja di negara ini tetapi dalam sektor berlainan atau dihantar pulang.

“Kami tidak melarang mereka untuk terus bekerja di negara ini dan pilihan itu terserah kepada pekerja terbabit kerana ada yang sanggup untuk menyambung kerja walaupun dalam bidang berbeza.

“Bagi yang memohon untuk bekerja dalam sektor berbeza, mereka ini dinasihatkan mengikuti peraturan dan undang-undang yang ditetapkan Kerajaan Malaysia bagi mengelak sebarang masalah,” katanya.

Leave a comment »

Peluang bagi wanita asing hilang kerja

Peluang bagi wanita asing hilang kerja

Oleh Azman Mahmood

bhnews@bharian.com.my

PAPA tawar jadi pembantu rumah

KUALA LUMPUR: Pekerja wanita warga asing daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan, terutama dari Indonesia yang diberhentikan berpeluang terus bekerja di negara ini sebagai pembantu rumah.

Ini berikutan kesediaan Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing Malaysia (PAPA) menimbang pengambilan pekerja dari negara itu jika ada permintaan majikan tempatan.

Presidennya, Datuk Raja Zulkepley Dahalan, berkata PAPA sedia menawarkan peluang itu bagi mengelakkan mereka menjadi pendatang tanpa izin kerana tidak pulang ke negara asal selepas diberhentikan kerja walaupun tamat kontrak.

Katanya, langkah itu hanya boleh dilakukan jika ada permintaan dan pengambilan dibuat mengikut kelayakan, manakala latihan asas akan diberikan mengenai tugas pembantu rumah.

Bagaimanapun, PAPA hanya menawarkan peluang itu jika mereka berminat dan mendaftar dengan agensi pembantu rumah asing yang berdaftar dengan persatuan.

“Kita juga sedia berbincang dengan kerajaan dan Kedutaan Indonesia mengenai perkara itu, termasuk menukar status kerja atau berkaitan kontrak baru sebagai pembantu rumah,” katanya semalam.

Beliau berkata, jika kerajaan membenarkan tenaga kerja itu disalurkan kepada sektor pembantu rumah, ia dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan rakyat asing di negara ini.

Katanya, keperluan tenaga kerja di sektor itu akan semakin mendesak dalam tempoh lima tahun akan datang kerana rakyat tempatan tidak berminat menjadi pembantu rumah.

“PAPA sendiri semakin sukar memenuhi permintaan majikan yang memerlukan khidmat pembantu rumah terutama dari Indonesia kerana ejen di sana mengenakan yuran tinggi sehingga mencecah RM5,000 seorang tidak termasuk yuran yang ditetapkan ejen di Malaysia.

“Kalau PAPA dibenarkan mengambil pekerja wanita asing yang diberhentikan kerja, kita boleh menawarkan yuran lebih rendah kepada majikan kerana kos pengurusan menjadi lebih rendah dan menjimatkan seperti urusan dokumentasi dengan imigresen atau menukar status kerja kerana mereka sudah berada di Malaysia,” katanya.

Leave a comment »