Archive for December, 2008

Gantung amah di kipas siling

hadzlihady@hmetro.com.my

AMPANG JAYA: Seorang majikan tidak berhati perut apabila sanggup mengikat kaki dan tangan pembantu rumahnya sebelum digantung di kipas siling semata-mata untuk melepaskan geram.

Mangsa yang bertubuh kecil itu dibiarkan berpusing di kipas siling terbabit sehingga pening.

‘Adegan’ seksaan yang tidak masuk akal itu menjadi tontonan keluarga majikannya.

Lebih dahsyat, mangsa disimbah air panas hingga menyebabkan dia melecur di badan selain dipukul tanpa belas kasihan.

Bagaimanapun, mangsa, seorang gadis berusia 20-an mengambil kesempatan awal pagi Rabu lalu untuk melarikan diri kerana tidak tahan menanggung penderitaan diseksa majikannya yang juga seorang ahli perniagaan.

Selepas meloloskan diri, pembantu rumah itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh orang awam di tepi jalan di Kampung Melayu, Ampang di sini.

Dia dibawa ke Kedutaan Indonesia sebelum membuat laporan di balai polis dan menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Ampang.

Menurut sumber, berdasarkan laporan polis, pembantu rumah terbabit mendakwa disimbah air panas, dipukul dan diperlakukan seperti haiwan apabila kaki dan tangannya diikat sebelum digantung di kipas siling oleh majikannya.

“Amah terbabit yang ditemani pihak kedutaan dibawa ke Hospital Ampang. Selepas menerima rawatan selama dua hari di hospital, dia kini tinggal bersama pihak kedutaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, majikan terbabit melarikan diri bersama ahli keluarganya selepas menyedari kehilangan pembantu rumah itu kerana bimbang ditahan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis masih mencari majikan terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Kejadian pembantu rumah didera sering dilaporkan akhbar ini, antaranya pada 17 Jun lalu mengenai kes seorang amah dirantai pada kandang kucing untuk mengelak melarikan diri.

Dia yang baru sebulan bekerja dengan keluarga majikannya dijadikan hamba seks untuk memuaskan nafsu lelaki ada kaitan dengan majikannya.

Leave a comment »