Archive for Imigresen

Talian semak tarikh luput pasport

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen memperkenalkan sistem semakan sendiri secara dalam talian khas untuk memudahkan pemegang pasport antarabangsa mengetahui status sebenar dokumen perjalanan masing-masing.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mahmood Adam, berkata pendekatan itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan jabatan berkenaan dalam usaha menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

“Antara faktor yang mendorong kami mengambil pendekatan ini adalah kerana kita hendak menjangkaui kehendak pelanggan iaitu mereka akan dapat mengetahui tempoh tamat pasport masing-masing.

“Dengan peringatan itu, mereka akan bersedia lebih awal supaya tidak `malu’ apabila mengetahui pasport mereka tidak sah digunakan sewaktu tiba di lapangan terbang untuk ke luar negara,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Imigresen di sini, semalam.

Untuk itu, pemegang pasport boleh melayari http://www.imi.gov.my.

Mahmood berkata, Jabatan Imigresen juga akan menghantar surat peringatan kepada semua pemegang pasport antarabangsa bagi tujuan sama.

Katanya, sehingga kini pihaknya mengenal pasti 15,000 pasport antarabangsa di negara ini tidak aktif termasuk yang sudah disenaraihitamkan.

“Jumlah itu bagaimanapun masih kecil berbanding jumlah keseluruhan pemegang pasport iaitu 6.7 juta orang,” katanya.

Katanya, pemegang pasport yang dikategorikan dalam kumpulan itu juga boleh mendapatkan bantuan mengenai pasport mereka dengan menghubungi Jabatan Imigresen.

“Saya percaya kaedah sama boleh membantu jabatan dalam mengesan penipuan permohonan pasport. Ini adalah strategi pertahanan awal berikutan Jabatan Imigresen adalah barisan pertahanan ketiga selepas tentera dan polis,” katanya.

Sementara itu, Mahmood berkata, pendatang asing tanpa izin di negara ini yang tampil secara sukarela untuk pulang ke negara asal masing-masing akan dipertimbangkan.

“Denda yang dikenakan terhadap pendatang asing tanpa izin adalah antara RM400 hingga RM2,000, tetapi jika mereka tampil secara sukarela kita akan memberi diskaun sehingga 70 peratus atas dasar kemanusiaan.

“Kita sebenarnya tidak mahu simpan mereka, mereka hanya jadi beban kepada kita,” katanya.

Leave a comment »