Archive for Penderaan

Didera bagai binatang

Oleh ATIKAH DALI
atikah.mohddali@kosmo.com.my


DAI BACHTIAR menunjukkan gambar Siti Hajar yang menjadi mangsa dera majikan di Kedutaan Indonesia, Jalan Tun Razak semalam.


KUALA LUMPUR – Akibat tidak tahan menanggung penderitaan menjadi mangsa dera selama 34 bulan, seorang amah nekad melarikan diri dari rumah majikannya di Jalan Kiara, Mont Kiara di sini semalam.

Mangsa Siti Hajar, 33, rakyat Indonesia meninggalkan rumah tersebut pada pukul 1 pagi dalam keadaan sehelai sepinggang sebelum menaiki teksi ke pejabat Kedutaan Indonesia di Jalan Tun Razak di sini.

Duta Besar Indonesia di Malaysia, Tan Sri Dai Bachtiar berkata, pembantu rumah berasal dari Jawa Barat itu tiba di pejabat kedutaan pada pukul 8.30 pagi bagi mendapatkan bantuan setelah mendakwa sering didera majikan wanitanya yang berusia 43 tahun.



Menurut beliau, mangsa mula bekerja di rumah majikannya seorang ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak berumur 11 dan 13 tahun bermula pada 2 Julai 2006.

“Dalam tempoh itu, mangsa mendakwa dia sudah banyak kali disiram dengan air panas selain dipukul dengan objek keras jika melakukan kesalahan termasuk kesalahan kecil,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Lebih malang lagi, katanya, sepanjang bekerja di situ mangsa yang beragama Islam mendakwa dia hanya diberi makan nasi tanpa lauk dan jika berlauk ia hanya daging babi.

Dai Bachtiar memberitahu, mangsa mendakwa wanita yang panas baran itu juga tidak pernah membayar gaji mangsa iaitu RM500 sebulan.

Katanya, mangsa yang sampai di kedutaan didapati mempunyai banyak parut selain luka baru pada muka dan hampir keseluruhan badan.

Leave a comment »

Setahun dirogol majikan

KAJANG – Tindakan polis menghebahkan nombor telefon melalui siaran radio berjaya menyelamatkan seorang pembantu rumah warga Indonesia daripada terus menjadi mangsa nafsu ganas majikannya di sini semalam.

Pembantu rumah yang berusia 35 tahun itu mendakwa dirogol sebanyak tujuh kali sejak setahun yang lalu dan kali terakhir beliau dirogol ialah pada Khamis lalu.

Oleh sebab tidak tahan dengan sikap keji majikannya yang berlarutan sejak setahun lalu itu, mangsa meminjam telefon daripada seorang pekerja pengangkat sampah untuk menghubungi polis.

Satu sumber memberitahu bahawa sebelum itu mangsa mencatatkan nombor talian hotline Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor selepas mendengar satu hebahan melalui radio.

Selepas mendapat laporan daripada pembantu rumah itu pihak polis kemudiannya menahan seorang lelaki berusia 45 tahun yang merupakan majikan mangsa.

Leave a comment »

Suami rogol, isteri dera

Oleh Sarah Zulkifli dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Bukan setakat penyangkut baju dan rotan bulu ayam, malah dia turut dilibas menggunakan permainan kuda kayu serta kaca hingga mengakibatkannya cedera serius pada beberapa bahagian badan.

Lebih menyayat hati, pembantu rumah berusia 19 tahun itu bukan saja didera seperti binatang sejak mula bekerja di rumah majikan wanitanya di Batu Caves di sini, tetapi turut dirogol si suami.

Harian Metro difahamkan, amah terbabit diugut bunuh jika cuba melarikan diri atau memaklumkan kepada pihak berkuasa berhubung penderaannya.

Mangsa yang berasal dari Sabah dan mula bekerja di rumah pasangan itu sejak Oktober 2007 mendakwa didera menggunakan pelbagai objek keras dan tajam selain dipaksa melakukan seks oral oleh suami majikan.

Bagaimanapun, mangsa diselamatkan jirannya sebelum ditemani untuk membuat laporan di Balai Polis Sri Murni, Selayang, dekat sini, kira-kira jam 1.40 tengah hari semalam.

Menurut sumber polis, dalam aduannya mangsa mendakwa dirogol suami majikannya enam kali, manakala sepanjang ketiadaan isterinya, si suami memaksa pembantu rumah itu melakukan seks oral.

“Menyedari perbuatan sumbang suaminya, wanita itu berang lalu menumbuk dan menendang mangsa di beberapa bahagian badan termasuk perut.

“Mangsa yang ketakutan kemudian merancang mendedahkan penderaan terhadapnya, tetapi sebaik memikirkan keselamatan adiknya berusia 18 tahun yang tinggal bersama, dia membatalkan niat itu,” katanya.

Amah berambut pendek dan bertubuh kecil itu diiring anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kira-kira jam 3 petang bagi menjalani pemeriksaan.

Dia mengalami trauma serius dan hanya meraung ketika dibawa masuk ke bahagian kecemasan HKL selain berulang kali mengungkapkan ‘mama, mama’ sambil menangis tersedu-sedu.

Sehingga malam tadi, beberapa pakar dipanggil bagi membantu menenangkan mangsa termasuk kaunseling selain menjalani beberapa siri ujian X-Ray pada seluruh tubuhnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II Ku Chin Wah, berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya majikan terbabit mula mendera pembantu rumah itu selepas mengetahui perbuatan sumbang suaminya itu.

“Kami percaya dia (pembantu rumah) didera selepas wanita terbabit mengetahui kegiatan suaminya yang merogol mangsa,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, semalam.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Leave a comment »

Gantung amah di kipas siling

hadzlihady@hmetro.com.my

AMPANG JAYA: Seorang majikan tidak berhati perut apabila sanggup mengikat kaki dan tangan pembantu rumahnya sebelum digantung di kipas siling semata-mata untuk melepaskan geram.

Mangsa yang bertubuh kecil itu dibiarkan berpusing di kipas siling terbabit sehingga pening.

‘Adegan’ seksaan yang tidak masuk akal itu menjadi tontonan keluarga majikannya.

Lebih dahsyat, mangsa disimbah air panas hingga menyebabkan dia melecur di badan selain dipukul tanpa belas kasihan.

Bagaimanapun, mangsa, seorang gadis berusia 20-an mengambil kesempatan awal pagi Rabu lalu untuk melarikan diri kerana tidak tahan menanggung penderitaan diseksa majikannya yang juga seorang ahli perniagaan.

Selepas meloloskan diri, pembantu rumah itu ditemui dalam keadaan tidak bermaya oleh orang awam di tepi jalan di Kampung Melayu, Ampang di sini.

Dia dibawa ke Kedutaan Indonesia sebelum membuat laporan di balai polis dan menjalani pemeriksaan dan rawatan di Hospital Ampang.

Menurut sumber, berdasarkan laporan polis, pembantu rumah terbabit mendakwa disimbah air panas, dipukul dan diperlakukan seperti haiwan apabila kaki dan tangannya diikat sebelum digantung di kipas siling oleh majikannya.

“Amah terbabit yang ditemani pihak kedutaan dibawa ke Hospital Ampang. Selepas menerima rawatan selama dua hari di hospital, dia kini tinggal bersama pihak kedutaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, majikan terbabit melarikan diri bersama ahli keluarganya selepas menyedari kehilangan pembantu rumah itu kerana bimbang ditahan polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Polis masih mencari majikan terbabit bagi membantu siasatan,” katanya.

Kejadian pembantu rumah didera sering dilaporkan akhbar ini, antaranya pada 17 Jun lalu mengenai kes seorang amah dirantai pada kandang kucing untuk mengelak melarikan diri.

Dia yang baru sebulan bekerja dengan keluarga majikannya dijadikan hamba seks untuk memuaskan nafsu lelaki ada kaitan dengan majikannya.

Leave a comment »

‘Saya tempat lepas geram’

Oleh Mary Victoria Dass
maryvictoria@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: “Majikan akan memukul kepala saya dengan senduk selain memaki-hamun sekiranya saya tidak menghabiskan nasi berlauk minyak masak mentah dan saya terpaksa memakannya,” dakwa seorang pembantu rumah warga Indonesia yang melarikan diri daripada majikannya di Tampoi di sini, awal pagi semalam, kerana tidak tahan menanggung seksa akibat didera.

Yanti Basuki, 23, dari Jawa Timur, mendakwa dia didera majikannya, pasangan suami isteri yang menghuni di Tampoi di sini, sejak mula bekerja kira-kira lima bulan lalu.

Wanita itu mendakwa, sepanjang bekerja sebagai pembantu rumah, dia bukan saja tidak menerima layanan baik, malah kerap menjadi tempat melepaskan geram isteri majikan berusia 30-an itu kerana dipukul tanpa sebab.

“Kehidupan di rumah itu umpama berada di neraka kerana saya tertekan dengan sikap majikan yang sentiasa tidak berpuas hati dengan kerja yang dilakukan.

“Bayangkan jika dia bergaduh dengan suaminya, dia akan melepaskan kemarahannya kepada saya termasuk memukul badan dan menghantuk kepala saya ke dinding sehingga perbuatannya meninggalkan kesan lebam di beberapa anggota badan, “ katanya.

Yanti yang mendakwa tidur di atas lantai dan hanya beralaskan kepala dengan tuala mandi ketika tinggal di rumah majikan itu, memberitahu nasibnya lebih malang pada hari minggu apabila isteri majikannya tidak bekerja menyebabkan setiap detik dilaluinya umpama mimpi ngeri.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata, dia sendiri tidak mengetahui punca diperlakukan seperti itu walaupun semua kerja rumah diselesaikan dengan baik selain bersikap sopan ketika di rumah berkenaan.

Yanti yang datang ke Pejabat Harian Metro (HM), semalam, turut menunjukkan kesan lebam di tangan yang didakwa akibat dipukul isteri majikannya. Selain itu, dia mempunyai beberapa kesan lebam di kelopak mata dan paha.

Menurutnya, walaupun sering didera, dia tidak pernah cuba melarikan diri kerana takut, tetapi akibat tidak tahan, dia nekad melarikan diri dari kediaman itu kira-kira jam 1 pagi semalam apabila mendapati isteri majikannya sudah tidur.

Berikutan tiada arah tujuan, Yanti hanya berkeliaran di sekitar sebuah pondok menunggu bas di Tampoi sebelum ditemui orang awam yang membantu membawanya ke Balai Polis Skudai kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.

Pembantu rumah itu juga kemudian dihantar untuk menjalani pemeriksaan doktor dan kini menerima perlindungan Konsulat Jeneral Republik Indonesia, di Jalan Ayer Molek di sini, semalam.

Leave a comment »

Wanita dera amah ditahan

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my

SEREMBAN: Polis menahan seorang wanita petang kelmarin selepas disyaki mendera pembantu rumahnya dengan memaksa mangsa menghirup air mendidih menggunakan penyedut air sehingga cedera di bibir dan tekak.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, berkata wanita berusia 33 tahun itu ditahan untuk membantu siasatan di rumahnya di Taman Desa Melati, Bandar Baru Nilai, Nilai, kira-kira 6.30 petang kelmarin.

“Wanita itu ditahan reman empat hari bermula hari ini (semalam) untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah,” katanya yang dihubungi, semalam.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 25 tahun sudah semakin pulih daripada kecederaan dialaminya.

Harian Metro semalam melaporkan hanya kerana dituduh malas bekerja, seorang pembantu rumah warga Indonesia menanggung kesengsaraan selepas diseksa kejam majikan dengan memaksanya menghirup air mendidih menggunakan penyedut air di sebuah rumah Taman Desa Melati, Khamis lalu.

Dalam kejadian itu, bibir amah berusia 25 tahun berkenaan turut dibakar dengan lilin menyebabkan dia cedera di bibir, tekak dan tidak dapat bercakap selain mengalami pendarahan di telinga.

Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan parah dengan air liur sentiasa keluar dari mulut selain gagal bertutur akibat seksaan majikannya.

Disebabkan tidak tahan dengan seksaan itu, mangsa tekad melarikan diri dari rumah majikannya kira-kira jam 9.30 malam.

Dia secara kebetulan berjumpa seorang lelaki yang membantu menghantarnya membuat laporan polis.

Sementara itu, tinjauan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) mendapati mangsa semakin pulih namun masih belum dapat bertutur dengan baik.

Seorang wanita dipercayai wakil agensi pembantu rumah turut menemaninya dan difahamkan, mangsa sudah dibenarkan keluar hospital semalam.

Leave a comment »