Posts tagged Pendatang Asing

Tak tahan sejuk berendam sejam

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Seorang warga Indonesia yang cuba bersembunyi dalam tangki air rumahnya ketika serbuan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) akhirnya terpaksa menyerah diri kerana tidak tahan sejuk akibat berendam selama lebih sejam, malam kelmarin.

Lelaki berusia 20-an itu didapati menyembunyikan diri bagi mengelak ditahan kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

Dalam operasi bermula jam 12.30 tengah malam itu dan berakhir dua jam kemudian turut memeriksa beberapa kedai makan di sekitar Pantai Dalam dan rumah pangsa sekitarnya yang dipercayai disewa warga asing.

Diketuai Pegawai Rela Daerah Brickfields, Ismail Abdul Rahman, operasi itu dijalankan berikutan aduan orang awam yang tidak tahan dengan kerenah segelintir warga asing yang mengganggu keharmonian mereka.

Ismail berkata, sebaik menerima maklumat dan mengenal pasti kelompok pendatang asing, pihaknya mengerahkan anggota mengepung seawal jam 12 malam.

“Deretan kedai makan yang terletak di bahu jalan sekitar Pantai Dalam turut diperiksa berikutan mendapat maklumat rata-rata pekerja dan tukang masaknya terdiri daripada warga asing.

“Terdapat beberapa warga asing termasuk tukang masak cuba melepaskan diri namun gagal apabila menyedari kawasan itu sudah dikepung,” katanya.

Kira-kira 70 anggota Rela terbabit dalam operasi berkenaan termasuk dari Rela Dang Wangi dan Cheras selain Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Seramai 150 warga asing termasuk lelaki dan wanita yang terdiri dari warga India, Thailand dan Indonesia diperiksa dan daripada jumlah itu seramai 70 orang ditahan.

Semua mereka dibawa ke Pusat Tahanan Lenggeng, Negeri Sembilan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Leave a comment »